KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking Kerajaan Negeri perlu berhati-hati dengan sebarang cadangan yang berpotensi menjejaskan ekosistem ekonomi negeri, termasuk cadangan memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis.
Katanya, kerajaan harus memahami secara mendalam mengenai keperluan ahli industri dan perniagaan dari luar negeri berhubung jadual perjalanan mereka.
Beliau berkata, kebanyakan negara Asia seperti Thailand dan Filipina mengekalkan lapangan terbang antarabangsa mereka di ibu negara masing-masing.
Menurutnya, ia bagi membolehkan pengunjung, terutamanya ahli korporat dan perniagaan, berehat secepat mungkin sebelum melaksanakan tujuan mereka datang ke negara itu.

“Bayangkanlah seorang pelabur asing yang berminat untuk melabur di Sabah yang telah berada di udara selama 12 jam dengan dua transit berbeza seterusnya mendarat di Kimanis, mereka terpaksa pula mengharungi kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
“Ini akan memakan masa sehingga sejam hanya untuk menghadiri satu mesyuarat di Kota Kinabalu sebelum kembali semula ke Kimanis untuk menaiki pesawat lain ke Kuching untuk mesyuarat seterusnya.
“Kesulitan dan pembuangan masa ketika berada di Sabah ini tidak digemari dalam dunia yang serba pantas sekarang,” katanya.
Darell yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog berkata, realiti dunia perniagaan hari ini amat mengutamakan masa, kecekapan dan produktiviti terutama di kalangan pemimpin korporat dan ahli perniagaan muda dari China serta negara-negara Barat.
“Jika kita alpa akan perkara ini, maka kejahilan kita sendiri terhadap keperluan pelabur luar akan memusnahkan ekonomi negeri kita secara senyap,” katanya.
Beliau berkata, pemindahan KKIA ke Kimanis umpama satu mimpi ngeri berkaitan logistik negeri ini bukan sahaja kepada mereka yang memasuki Sabah tetapi bagi penduduk tempatan terutamanya dari utara Pantai Barat seperti Tuaran, Kota Belud dan Kudat yang kini terpaksa mengembara ke Kimanis semata-mata untuk menaiki penerbangan.
“Saya juga mengulangi di sini bahawa kita tidak perlu memindahkan KKIA dan jika alasan perpindahan ini adalah kerana kesesakan, maka Kerajaan Negeri sentiasa boleh memanjangkan landasan kapal terbang ke laut sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Hong Kong keatas Lapangan Terbang Antarabangsa Chek Lap Kok.
“Kita juga perlu berbelanja lebih untuk memperbaiki dan menaik-taraf sistem perkhidmatan dan utiliti di KKIA sepadan dengan lapangan terbang utama lain di dunia untuk kemudahan pelancong dan ahli perniagaan yang datang ke Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wirawati Warisan, Izzatul Aini menyeru agar perpindahan KKIA ke Kimanis dibatalkan kerana ianya akan merosakkan ekosistem ekonomi di Putatan selain menyulitkan lagi jadual perjalanan golongan perniagaan yang datang ke Sabah.
Katanya, Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepatutnya sedar bahawa disebabkan ketiadaan aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi dan berskala besar di Putatan, KKIA penting kepada daerah berkenaan kerana ianya menjana pekerjaan kepada golongan belia serta peluang perniagaan untuk penduduk tempatan dalam sektor perkhidmatan.

“Sebagai sebuah sub-bandaraya, Putatan (bersama Penampang dan Inanam) menampung keperluan perumahan oleh bandar raya Kota Kinabalu tetapi disebabkan oleh saiz daerah ini yang kecil dengan kepadatan penduduk tertinggi di Sabah (1,737 orang setiap km persegi), aktiviti ekonomi di sini terhad kepada industri kecil dan sederhana dalam sektor-sektor perkhidmatan, pertanian (perikanan), pembuatan (industri ringan) dan pembinaan (hartanah).
“Disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang terhad di daerah itu, KKIA menjadi tempat belia-belia Putatan mendapatkan pekerjaan terutamanya dalam bahagian operasi darat manakala penduduk tempatan di situ, termasuklah dari Penampang, mendapat manfaat bukan sahaja dalam ekonomi gig (e-hailing) tetapi juga dalam sektor perkhidmatan (makanan & minuman dan penginapan) untuk pengembara udara dari selatan Pantai Barat sebelum mereka menaiki penerbangan mereka,” katanya.
Izzatul juga berkata, memandangkan masih terdapat banyak ruang untuk memperkenalkan pelbagai jenis sektor dan industri yang bersesuaian di Kimanis, maka adalah tidak betul untuk mengatakan bahawa pemindahan KKIA diperlukan untuk mengaktifkan aktiviti ekonomi di sana.
“Dengan asas yang baik dalam industri minyak dan gas serta Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), Kerajaan Negeri sentiasa boleh membangunkan industri berat dan hiliran, hartanah malah mewujudkan ‘Koridor Selatan Sabah’ di Kimanis untuk meningkatkan aktiviti ekonominya tetapi Putatan tidak mempunyai peluang sedemikian.
“Wirawati Warisan juga percaya bahawa, daripada merencanakan perpindahan KKIA ke Kimanis, adalah lebih baik jika GRS dan Datuk Yusof Yacob (sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah) berusaha untuk menyakinkan Petronas untuk membina loji penapisan gas asli di SOGT setaraf dengan tiga MLNG yang sedia ada supaya warga Kimanis boleh menikmati limpahan ekonomi daripada industri gas kita,” katanya. – Info X