Search
Search
Close this search box.

Kerajaan ambil berat isu kebersihan kantin sekolah

April 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Exco Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menegaskan pihaknya memandang serius isu kebersihan kantin sebuah sekolah menengah di bandar raya ini yang tular, baru-baru ini.

Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata Pengarah Pendidikan Negeri akan dipanggil bagi mendapatkan maklumat mengenai isu terbabit agar langkah penyelesaian dapat diambil.

“Saya ada membaca isu ini di media sosial dan pengarah pendidikan akan dipanggil untuk mendapatkan maklumat sebenar.

“Kita akan cari jalan untuk menyelesaikannya kerana perkara seumpama ini sangat dekat di hati rakyat khususnya ibu bapa kerana ia membabitkan anak-anak di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) 2024, di sini, hari ini.

Mohd Arifin (kiri) ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) 2024 di Kota Kinabalu.

Mohd Arifin berkata demikian ketika diminta mengulas hantaran tular di laman sosial TikTok berkaitan pengusaha kantin sebuah sekolah menengah yang didakwa tidak mengamalkan penjagaan kebersihan ketika menyediakan makanan.

Malahan, hantaran sama turut menyatakan kantin sama juga menjual makanan dengan harga yang mahal selain sering berlaku kes penemuan serangga dalam makanan.

Sementara itu, Mohd Arifin menasihatkan semua pengusaha kantin mahupun pemegang tender dewan makan asrama supaya tidak memandang mudah isu kebersihan ketika menyediakan makanan pelajar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Kebersihan sangat utama dan kita tidak boleh berkompromi dalam hal seumpama ini apabila ia melibatkan anak-anak.

“Selain kantin, makanan di dewan makan asrama juga harus disediakan dengan baik.

“Perkara ini sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) dalam Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) apabila mereka memberikan tanggungjawab kepada pihak berkenaan untuk membekalkan makanan,” katanya. – Info X