Search
Search
Close this search box.

UPKO komited perkasakan kerjasama pergerakan Pemuda Kerajaan Perpaduan

April 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu pimpinan Pemuda Kerajaan Perpaduan terus diperkasakan bagi memudahkan kerjasama membangunkan negara.

Ketuanya, Felix Joseph Saang, berkata kerjasama dalam kalangan Pemuda Kerajaan Perpaduan juga perlu diperkasakan bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Selangor.

“Tahniah kepada Pimpinan tertinggi Pemuda Pakatan Harapan atas penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pemuda parti-parti Kerajaan Perpaduan.

“Majlis seumpama ini dapat mengeratkan persefahaman dan mengukuhkan lagi kerjasama di kalangan pemimpin parti-parti kerajaan perpaduan.

“Kita mahu memastikan Pemuda Pakatan Harapan bersama dengan seluruh pemuda parti-parti dalam kerajaan perpaduan memainkan peranan penting untuk kemenangan PRK KKB,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Angkatan Muda Harapan Malaysia di Kuala Lumpur.

Felix berkata, Pemuda UPKO juga mahu agar agenda perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak sama rata yang adil akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Madani dan akan direalisasikan.

“Walaupun adakalanya berbeza pandangan dan pendapat, itu adalah perkara biasa, apa yang penting, kesatuan dan keikhlasan serta kesungguhan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan pimpinan Pemuda Kerajaan Perpaduan.

“Saya juga berharap agar keutuhan gabungan pimpinan Pemuda Kerajaan Perpaduan akan diperkasakan lagi agar negara kita terus maju membangun, harmoni, aman damai dan sejahtera,” katanya. – Info X