Search

Penghantaran pesakit jantung ke IJN dapat dikurangkan – James Ratib

April 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Langkah menaik taraf Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) menjadi Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah disasar dapat mengurangkan 50 peratus penghantaran pesakit jantung dari negeri ini ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, berkata berdasarkan rekod tahun lalu, kira-kira 200 pesakit jantung dari negeri ini terpaksa dihantar ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan pakar jantung di sana.

Katanya, ketika ini sudah ada pusat rawatan jantung yang ditempatkan di HQE2, namun masih kekurangan pakar dan peralatan yang diperlukan menyebabkan banyak kes sakit jantung perlu dirujuk ke Kuala Lumpur (IJN).

“Sebenarnya kita suda ada doktor pakar jantung tapi tidak cukup, iaitu seorang ketua pakar yang dibantu tiga doktor lain.

Keseluruhannya kita ada pakar bius, dua pakar kakak-kanak seorang pakar jantung dan seorang lagi pakar pembedahan.

“Jadi, dengan adanya projek Pusat Jantung Negara Sabah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bukan saja menaik taraf dan menambah peralatan di HQE2 tapi juga menambah bilangan doktor pakar.

“Dengan itu, jika kebiasaannya pesakit yang ada masalah jantung terutama kanak-kanak, terpaksa dihantar ke Kuala Lumpur, tapi dengan adanya peralatan dan pakar yang cukup, kita dapat kurangkan hantar pesakit ke Kuala Lumpur.

“Tahun lalu kita hantar lebih kurang 200 pesakit, jadi mungkin ia dapat dikurangkan kepada 100,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri kementeriannya, di sini, hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakat Sabah, Datuk Flovia Ng.

James mengulas pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini mengenai peruntukan RM80 juta untuk menaik taraf HQE yang akan dijadikan Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah, termasuk menambah doktor pakar, kakitangan dan peralatan rawatan jantung.

Beliau yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata beliau akan memastikan kerja menaik taraf HQE2 dilaksanakan pada tahun ini, manakala doktor pakar yang mencukupi dihantar ke negeri ini bagi memenuhi keperluan rawatan jantung.

“Selama ini, ramai yang tidak tahu di hospital mana ada rawatan jantung di negeri ini, jadi apabila HQE2 dinaik taraf dan dinamakan Pusat Jantung Negara Sabah, semua orang pasti tahu di mana hospital jantung di negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya hanya sebahagian HQE2 saja digunakan sebagai Pusat Jantung Negara Sabah buat masa ini, sebagai usaha untuk mewujudkan kemudahan penting itu di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai hasrat untuk membangunkan kemudahan khas jantung di lokasi yang baharu pada masa depan dan sudah mengenal pasti dua tapak tanah yang sesuai iaitu di Likas dan kawasan belakang HQE2.

Sementara itu, James berkata kerajaan negeri juga mahu sebuah Pusat Darah serba lengkap dibangunkan di Sabah bagi memenuhi keperluan tabung darah untuk membantu pesakit yang memerlukan.

Beliau turut mencadangkan agar pembinaan bangunan dan pengoperasiannya nanti diswastakan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. – Info X

EndsPix 1 – James (tengah) bersama Flovia dan pegawai kementetian pada sambutan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah di Wisma Tun Fuad, Kota Kinabalu.Pix 2 – James ditemui pemberita pada sambutan Aidilfitri kementeriannya di Wisma Tun Fuad, Kota Kinabalu.