KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi jaminan, langkah sewajarnya akan diambil untuk mengatasinya masalah bekalan air dan elektrik di Sabah.
Katanya, kerajaan hari ini sedang mengambil pendekatan untuk mengatasi masalah berkenaan dan berharap akan rakyat faham.
“Saya harap rakyat faham keadaan ini dan saya menyeru pihak berkaitan agar tidak mempolitikan perkara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, satu panggilan telah dilakukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Mohd Yaakob Jaafar untuk mendapatkan makluman langkah segera yang diambil SESB tangani isu terbabit.
Berkaitan dengan isu bekalan air, Hajiji telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong untuk mengambil tindakan drastik untuk memperbetulkan pentadbiran pengurusan jabatan air negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja mengambil langkah menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik tetapi juga mewujudkan pelan kecemasan.
“Kita akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu-isu ini kerana kita juga berusaha menarik pelabur-pelabur datang ke Sabah. Kedua-dua kemudahan asas itu sangat penting kepada pelabur.
“Kita telah berjaya menarik pelabur berimpak tinggi seperti SK Nexilis, pengeluar kaca Kibing solar, Linaco and Esteel dan kita mahukan lebih banyak lagi.
“Kerajaan negeri telah laksana pelbagai pelan tindakan untuk memperbetulkan perkara ini dan dengan jaminan serta bantuan Perdana Menteri, saya yakin jalan penyelesaian akan dicapai,” katanya. – Info X