Search

Penurunan beban bekalan kuasa dijangka hingga Julai – SESB

May 19, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Mohd Yaakob Jaafar berkata, penurunan beban bekalan kuasa di Sabah dijangka berterusan sehingga Julai depan.

Katanya, keadaan ini disebabkan penggunaan yang lebih tinggi dan kerosakan generator yang kerap berlaku.

“Tujuan utama SESB adalah untuk mengelakkan berlakunya gangguan bekalan elektrik dan pelepasan beban adalah satu cara yang cekap untuk memastikan bekalan kuasa stabil dan dapat disalurkan di semua kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas taklimat situasi bekalan kuasa semasa di sini.

Yaakob berkata, syarikat utiliti cuba untuk memastikan bekalan berada dalam keadaan stabil memcapai 80 hingga 90 peratus pengguna di negeri ini semasa operasi pelepasan beban.

Beliau berkata permintaan tenaga yang meningkat antara lain disebabkan keadaan cuaca panas kini.

“Kakitangan SESB bertugas sepanjang masa secara bergilir-gilir bagi memastikan bekalan kuasa kekal stabil sepanjang hari.

“SESB juga sedang mendapatkan sumber tenaga alternatif untuk memenuhi permintaan industri dan pelanggan di Sabah.

“Untuk kawasan Sabah, kita perlu menumpukan pelepasan beban di kawasan luar bandar utama memandangkan Kota Kinabalu merupakan pusat tumpuan ekonomi dan perindustrian,” katanya.

Tambah beliau pengguna boleh menghubungi SESB Careline di talian 15454, 088-515 000 atau melalui aplikasi WhatsApp di 019-852 5427, SESB Careline Facebook dan SESB Twitter untuk pertanyaan lanjut. – Info X