KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan harga beras putih import (BPI) di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak tidak terlalu tinggi disebabkan kos pengangkutan.
Katanya, langkah itu perlu memandangkan harga di kawasan pedalaman dijangka masih tinggi walaupun kerajaan memberikan subsidi untuk menurunkan harga BPI kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram, mulai esok.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan akan membincangkan dengan kerajaan negeri mengenai langkah yang boleh diambil bagi memastikan harga BPI di kawasan pedalaman kedua-dua negeri tidak membebankan.
“Sekarang, harga beras (BPI) turun kepada RM31 tetapi di kawasan pedalaman mungkin harganya tinggi sikit kerana kos pengangkutan.
“Perkara ini kita akan bincang dengan kerajaan negeri bagaimana untuk kurangkan kos di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga EXCO Agama Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif.
Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM950 bagi satu tan BPI di Sabah dan Sarawak bagi menurunkan harganya kepada RM31 berkuat kuasa esok, 5 Oktober.
Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil keputusan memberikan subsidi untuk BPI di Sabah dan Sarawak bagi menurunkan harganya selepas mengambil kira keluhan rakyat kedua-dua negeri yang terbeban dengan kenaikan BPI baru-baru ini.
Katanya, langkah sementara itu juga mengambil kira peratus pengeluaran beras tempatan di Sabah yang kini hanya kira-kira 25 peratus menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada beras import.
“Perkembangan semasa terutama yang menyentuh Sabah dan Sarawak dua hari yang lalu setelah kita mendapat dan mendengar keluhan rakyat mengenai harga beras yang meningkat dan membebankan dan seperti kita sudah maklum bahawa beras tempatan tidak tersebar luas, iaitu 25 peratus saja di Sabah, maka di sini terpaksa bergantung kepada beras import.
“Harga beras import ini seperti mana yang disinggung oleh Presiden Jokowi tiga hari lalu akibat daripada keputusan 18 negara menyekat eksport atau mengurangkan eksport maka harga beras melambung naik.
“Tentunya kesan sama di Malaysia, tapi kita tahu apa yang dihadapi rakyat maka pada Isnin lalu kita panggil menteri dan beberapa pegawai Kementerian Pertanian untuk mendengar pandangan, kita putuskan supaya langkah sementara yang dipanggil melalui subsidi kerajaan.
“Subsidi ini maknanya harga itu tinggi dan kita bayar untuk kurangkan, ia bukan ekonomi pasaran, ini disebut sebagai campur tangan kerjaaan untuk mengurangkan beban. Subsidi makanan itu tinggi, subsidi ayam dan telur sehingga 30 Sepetember lalu saja mencecah RM3.8 bilion,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan memilih untuk mengumumkan pemberian subsidi itu bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama yang miskin dan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan harga beras yang tinggi.
“Saya dimaklumkan oleh kerajaan negeri dan pegawai bahawa ada tempat harga beras import di Sabaj ketika ini RM45 , ada RM41 ada RM39, jadi bagaimana kita nak kurangkan harga beras, ini keperluan harian untuk makanan keluarga.
“Maka Isnin lalu kita umumkan untuk mengurangkan tekanan rakan-rakan Sabah dan Sarawak dengan turunkan harga beras import daripada RM45 kepada RM31,” katanya. – Info X