Search

Kerajaan dalam usaha daftar Pesta Kaamatan dengan UNESCO

April 29, 2023

admin



PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan kini sedang berusaha untuk mendaftarkan elemen Pesta Kaamatan dengan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, ia bagi memastikan budaya serta tradisi Pesta Kaamatan terus dikekalkan untuk generasi akan datang walau di mana pun mereka berada.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023 berkata, pihaknya merancang untuk menghantar tujuh elemen perayaan itu bagi didaftarkan dengan UNESCO merangkumi pakaian, makanan dan muzik tradisi.

“Selain mengekalkan budaya dan tradisi ini, dengan mendaftarkan elemen ini dengan UNESCO kita juga berharap dapat membawa Pesta Kaamatan ini ke peringkat antarabangsa sebagai sebuah budaya dan tradisi yang dikongsi seluruh dunia,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu Jeffrey berkata, selain Malaysia pihaknya telah menerima cadangan mengadakan sambutan perayaan itu di luar negara seperti di Australia dan New Zealand.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengalu-alukan cadangan itu serta mengajak orang ramai di luar negara untuk bersama meraikan Pesta Kaamatan.

“Seperti mana perayaan lain di negara ini Pesta Kaamatan wajar diraikan secara bersama semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan tidak terhad diraikan penduduk Sabah semata-mata,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pelbagai acara sempena Pesta Kaamatan telah diatur di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung bagi meraikan Pesta Kaamatan bersama seluruh rakyat Malaysia, antaranya Unduk Ngadau, pertandingan ratu cantik tradisi, dan Sugandoi, pertandingan nyanyian lagu rakyat.

“Pelancaran sambutan Pesta Kaamatan dijadualkan pada 1 Mei ini, kemudian pelbagai acara akan diadakan, dan ia juga akan disambut di luar Sabah dan Sarawak, seperti di Johor pada 5 Mei, Melaka pada 6 Mei dan Lembah Klang 13 Mei,” katanya.

Pelancaran Pesta Kaamatan 2023 pada 1 Mei ini akan berlangsung di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan kemudian pelbagai acara telah diatur di daerah-daerah Sabah, serta negeri lain seluruh negara, sebelum sambutan kemuncak di sini pada 30 dan 31 Mei. – Info X