PAPAR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Lama Papar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa Alif Syahadan Lasim, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihkanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.19 pagi.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi sebuah kereta jenis Proton Wira terbabas sendiri ke dalam parit.
“Terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dan dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan rescue tools,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada 8.05 pagi,” katanya. – Info X