Search

Kerajaan negeri diminta jelaskan kejayaan pelan pembangunan SMJ

March 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah diminta menjelaskan kepada rakyat negeri ini berhubung kejayaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) setakat ini selepas dilaksanakan kira-kira dua tahun.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata sejak Pelan Pembangunan SMJ 1.0 2021 – 2025 dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mac 2021, rakyat tertanya-tanya di mana kejayaan kerajaan negeri yang dicapai menerusi pelan itu.

Katanya, ramai yang menyifatkan pelan pembangunan itu gagal berikutan isu kemudahan asas dan kemiskinan yang masih berlarutan di negeri ini.

“Isu kemudahan asas seperti jalan raya tidak diselenggara sehingga rakyat mengatakan jalan macam di bulan, ada paip tetapi bekalan air bersih tiada dan bekalan elektrik pula dicatu.

“Ini belum termasuk lagi isu kemiskinan di lapan daerah yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, kejayaan Pelan Pembangunan SMJ sering dilaungkan kerajaan negeri tetapi beliau mendakwa tiada manfaat yang dapat dirasai rakyat Sabah setakat ini.

Beliau mengingatkan bahawa SMJ bukan slogan semata-mata tetapi ia satu pelan pembangunan lima tahun yang disasar bagi membawa perubahan besar untuk manfaat rakyat di negeri ini.

“Pada tahun pertama, SMJ diperuntukkan RM3.4 billion untuk memacu tiga sektor utama termasuk infrastuktur awam. Setiap sektor pertumbuhan diperuntukkan dana untuk membiayai pelbagai inisiatif dalam pelbagai elemen SMJ.

“Bermula 2021, sebanyak 573 inisiatif dirangka yang akan dilaksanakan oleh 11 kementerian dan 21 jabatan serta agensi kerajaan di bawah Jabatan Ketua Menteri. Persoalannya, di mana kejayaannya setakat ini?

“Kepada Ketua Menteri atau menteri yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Pelan Pembangunan SMJ, di mana tahap pengukuran sebagai kejayaan atau majunya sebuah negeri yang mempunyai slogan Sabah Maju Jaya sebagai jata negeri,” katanya.

Suhaimi berkata, kerajaan negeri perlu menumpukan kepada segala usaha untuk meningkatkan kemudahan asas dan menangani isu kemiskinan lapan daerah di bawah pelan berkenaan.

“Jangan hanya tahu menaikkan papan tanda SMJ di sana sini, sebaliknya kerajaan negeri perlu lebih bertanggungjawab merangka strategi dalam aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastuktur yang merentasi sempadan politik demi kepentingan rakyat,” katanya. – Info X