PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang memotong kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 7, Jalan Papar Baru – Kota Kinabalu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.38 petang itu, mangsa lelaki berusia 35 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dengan motosikal jenis Yamaha.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Ford Ranger lelaki berusia 27 tahun dan penumpang lelaki berusia 38 tahun dari Papar menuju ke Kota Kinabalu.
“Pada masa itu, pemandu Ford Ranger memotong kenderaan lain dan kenderaannya memasuki ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal ditunggang mangsa seorang diri yang datang dari arah Kota Kinabalu ke arah Papar.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan arah Kota Kinabalu ke Papar manakala motosikalnya turut tercampak ke tiang lampu arah yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, Ford Ranger yang hilang kawalan terbabas dan melanggar tiang SESB serta melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang parkir di bahu jalan arah yang sama.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar manakala pemandu dan penumpang Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X