Search

Kerajaan perlu ambil langkah tambahan tangani kos sara hidup rakyat

January 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengambil langkah tambahan untuk meringankan beban kewangan rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat.

Pengerusi Yayasan Pengguna Kebangsaan (YPNM) Cawangan Sabah, David Chan, berkata walaupun kerajaan menaikkan gaji sektor awam dan swasta untuk meningkatkan tahap kewangan rakyat, namun ia bukan jaminan kos sara hidup rakyat dapat ditangani.

“Walaupun kita mengakui usaha kerajaan dalam meningkatkan gaji sektor awam dan swasta baru-baru ini, langkah tambahan masih diperlukan untuk meringankan beban kewangan rakyat.

“Pelarasan gaji adalah langkah yang baik untuk membantu mengurangkan kesan inflasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau memberi contoh mengenai aduan orang ramai terhadap kenaikan tambang bas sekolah, baru-baru ini yang menunjukkan bahawa walaupun perkara itu mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati, rakyat perlu menerima hakikat bahawa inflasi, kos penyelenggaraan yang meningkat, serta kenaikan kos tenaga kerja seperti alat ganti dan upah mekanik, adalah faktor yang menyumbang kepada situasi itu.

“Justeru, adalah wajar tambang bas sekolah diselaraskan semula supaya pengendali dapat meneruskan perkhidmatan mereka.

“Sebagai contoh, gaji minimum pekerja kedai kopi kini meningkat kepada RM1,700 sebulan. Ditambah dengan kenaikan kos sewa akibat inflasi, kesan rantai ekonomi memberi impak kepada setiap sektor.

“Perniagaan perlu menyesuaikan diri tetapi polisi dan langkah sokongan juga perlu diberikan kepada pengguna dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memantau dengan teliti penyebaran virus HPMV di China, yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan ekonomi di Malaysia.

“Kita pernah mengalami bagaimana pandemik COVID-19 menyebabkan kekurangan makanan ruji di seluruh dunia, yang menekankan keperluan mendesak untuk menjamin keselamatan makanan.

“Kami menggesa kerajaan persekutuan untuk memberi keutamaan kepada isu ini dengan melaksanakan langkah-langkah bagi memperkukuhkan rantaian bekalan makanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.

Jelasnya, bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup, YPNM akan terus berwaspada dan memperjuangkan dasar-dasar yang melindungi kebajikan rakyat.

Yayasan itu katanya percaya dengan perancangan dan kerjasama yang baik, Malaysia mampu mengharungi cabaran ekonomi sambil menjaga kepentingan rakyat. – Info X