Search

Pemandu maut tersepit, van bertembung dengan Toyota Hilux

January 9, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51, Jalan Semporna – Tawau, di sini, pagi tadi.

Laporan kejadian diterima pada jam 7.32 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna digerakkan ke lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba, Madzlan Sarman berkata, kemalangan membabitkan sebuah van jenis Nissan Urvan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Katanya, mangsa yang maut adalah pemandu van iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, manakala pemandu Toyota Hilux, lelaki berusia 38 tahun parah.

“Kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan tersepit dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan Road Traffic Accident.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51, Jalan Semporna – Tawau. – Foto/Bomba

“Mangsa yang tersepit dalam van disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Madzlan berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Semporna dengan menggunakan ambulans KKM.

“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 8.50 pagi,” katanya. – Info X