Search

Kerajaan Persekutuan komited laksana MA63 – PM

October 5, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Sabah akan terus ditingkatkan khususnya dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, sejak mengambil alih kerajaan pada akhir tahun lalu, kerajaan persekutuan sedaya upaya untuk melaksanakan apa sahaja yang termaktub dalam perjanjian berkenaan.

Katanya, perjanjian yang dimeterai pemimpin Sabah, Sarawak dan Semenanjung ketika penubuhan Malaysia pada 1963 itu harus dilaksanakan oleh pemimpin selepas mereka.

“Perjanjian yang dilaksanakan oleh bapa-bapa terdahulu itu adalah hasil pemeteraian dari muafakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Jadi tugas saya, generasi kami adalah untuk melaksanakan perjanjian berkenaan. Saya bagi jaminan hubungan kerjasama erat dengan sahabat saya saudara Datuk Seri Hajiji (Ketua Menteri Sabah), kita akan tingkatkan usaha serta mendengar apa-apa hal yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penangguhan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.

Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baru-baru ini menarik balik saman pemula terhadap kerajaan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah berikutan keyakinan terhadap kerajaan untuk melaksanakan MA63.

“Baru-baru ini ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebahagian dari Pakatan Harapan (PH) mencabar kerajaan dalam isu pelaksanaan MA63.

“Saya ucap terima kasih kerana mereka menarik balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan. Sejak kita ambil alih kerajaan dan Ketua Menteri Hajiji sedia maklum, saya telah mengarahkan sedaya upaya kita untuk melaksanakan apa yang kita janjikan menerusi MA63,” katanya.

Baru-baru ini, PH Sabah menarik balik saman pemula yang difailkan terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Jun 2022.

Berdasarkan kenyataan bersama 12 plaintif PH Sabah itu, mereka melihat ada kemajuan berhubung tuntutan yang dibuat, khususnya menerusi penubuhan jawatankuasa teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Menerusi jawatankuasa itu, dua daripada tiga deklarasi yang dituntut mereka sudah dipersetujui dan akan dilaksanakan nanti.

Plaintif dalam kes saman pemula itu ialah Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung; Presiden Kehormat UPKO, Datuk Madius Tangau; Naib Presiden PKR, Awang Hussaini Sahari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang; ADUN Inanam, Peto Galim; ADUN Likas, Tan Lee Fatt; ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan bekas Ahli Parlimen Tenom, Senator Noorita Sual. – Info X