KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca panas berterusan yang dibimbangi memberi kesan kesihatan kepada rakyat, khususnya pekerja luar, komuniti luar bandar dan golongan berisiko.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata pihaknya memandang serius peningkatan kes berkaitan haba yang dilaporkan di seluruh negara seperti dinyatakan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Di Sabah, ramai rakyat bekerja di luar seperti nelayan, petani dan pekerja ladang, maka risiko pendedahan kepada haba adalah lebih tinggi dan memerlukan perhatian khusus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Julita turut menggesa sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan penjaga untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman cuaca panas.
Katanya, perhatian juga ditumpukan tergadap golongan berisiko lain seperti warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik.
“Kerajaan negeri sedang memantau keadaan cuaca secara rapi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan amaran dan tindakan dapat dilaksanakan dengan segera.
“Kemudahan kesihatan di peringkat daerah juga sentiasa dipantau bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kekal mencukupi.
“Kami komited untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas ini,” katanya. – Info X