SANDAKAN: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes samun terhadap seorang wanita di sebuah rumah di kawasan Batu 7, di sini, pada 21 Mac lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa diserang seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke rumah melalui tingkap sebelum bertindak menyamun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden Ramasamy A/L Kuppan berkata, suspek kemudian melarikan diri bersama beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit dan barang kemas dengan anggaran kerugian kira-kira RM20,000.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis menjalankan beberapa operasi sebelum berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang penjaga premis pajak gadai di sekitar Sandakan pada 24 hingga 25 Mac lalu.
“Suspek utama yang ditahan adalah warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.
“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta penemuan beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, barang kemas dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan kediaman selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.
Sebelum ini, video dan gambar suspek tular di media sosial memaparkan lelaki terbabit memecah masuk rumah mangsa dengan memakai topi, baju lengan panjang dan seluar pendek. – Info X