Search

Kerajaan sungguh-sungguh kurangkan kadar kemiskinan – Hajiji

March 17, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah terutama di lapan daerah yang disenaraikan mempunyai ramai penduduk miskin.

Bagaimanapun, katanya data yang diperolehi kerajaan negeri mengenai isu kemiskinan di negeri ini agak berbeza dengan data yang dilaporkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Persidangan Dewan Rakyat, Khamis lalu.

“Tapi apapun, ini menjadi satu perjuangan yang perlu diutamakan oleh kerajaan negeri. Kita telah memberi tugas dan tanggungjawab kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mengurangkan kadar kemiskinan ini,” katanya ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa, di sini, malam tadi.

Pada Khamis lalu, Rafizi menyatakan bahawa lapan daerah di Sabah, iaitu Tongod, Beluran, Kinabatangan, Pitas, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu mencatat kadar kemiskinan tegar lebih tinggi berbanding kadar nasional.

Hajiji menjelaskan, kerajaan negeri mempunyai inisiatif atau usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan termasuk membina 1,500 Rumah SMJ setahun untuk golongan miskin tegar.

“Selain itu, bagi mereka yang tidak produktif, kita berikan bantuan seperti memberi modal untuk berjualan, perniagaan kecil-kecilan dan lain-lain.

“Kita juga mencarikan mereka peluang pekerjaan dan kita sudah mengarahkan setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau pelabur baharu yang datang ke Sabah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada yang layak dalam senarai e-kasih.

“Jadi kerajaan negeri berusaha bersungguh untuk memastikan bahawa kadar kemiskinan tegar ini dapat kita kurangkan,” katanya. – Info X