Search

UMNO mungkin tanding lebih banyak kerusi pada PRN17

March 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mungkin bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang boleh diadakan mulai sekarang hingga akhir tahun depan.

Kemungkinan itu berdasarkan jawapan ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang seolah-olah hanya menolak kerusi di kawasan Cina apabila ditanya jangkaan kerusi yang bakal ditandingi parti itu.

“Kita belum putuskan lagi, tapi tidak mungkin kerusi Cina pun kita tanding, jadi kita akan putuskan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah, di sini, malam tadi.

Ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020, UMNO Barisan Nasional (BN) yang ketika itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding di 31 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata tumpuan UMNO Sabah pada PRN17 ialah terhadap kerusi yang dianggap boleh menang.

Beliau berkata, UMNO Sabah juga akan meneliti kawasan yang pernah menjadi kerusi tradisi atau kubu kuat parti itu tetapi diserahkan kepada parti lain pada PRN lalu untuk ditandingi semula.

“Satu ketika dulu ada kerusi yang kita pinjamkan kepada orang (parti) lain, jadi kita akan kaji dan jika masih ada peluang untuk menang di kerusi terbabit, kita akan tanding,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar mengakui UMNO perlu membentuk kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi PRN17 kerana menyedari sukar untuk sesebuah parti bertanding secara bersendirian.

Berikutan itu, beliau tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Parti Warisan (WARISAN) dalam misi untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada tangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada apa-apa keputusan diambil berhubung soal kerjasama dengan parti lain kerana UMNO Sabah perlu meneliti terlebih dahulu parti yang ingin dijadikan rakan.

“Keputusan konkrit belum ada, tapi saya selalu menyatakan mesti (ada kerjasama) sebab tiada jalan lagi untuk satu-satu parti bertanding dan mendapat kemenagan mutlak.

“Jadi kena cari rakan juga untuk PRN akan datang. Tapi, kita mahu nilai dulu dan buat analisa dulu kerana jika salah cari rakan, susah untuk pusing balik, jadi akan rugi lima atau 10 tahun,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau tidak mahu kesilapan yang dialami UMNO Sabah sebelum ini berulang. – Info X