KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menimbangkan cadangan mengenai kajian Model Ekonomi Sabah yang baharu dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dilaksanakan Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) itu adalah satu inisiatif yang baik.
“Kita terbuka terhadap cadangan itu untuk membantu ekonomi Sabah bertumbuh dengan lebih baik,” katanya selepas diberi taklimat mengenai cadangan berkenaan di Menara Kinabalu, hari ini.
Taklimat itu disampaikan pengkaji dari Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar (CEDP) UMS, Prof Madya Dr Sarma Mohd Imran Aralas.
Ketua Menteri turut menggesa agar SEAC melaksanakan kajian teliti melalui libat urus dengan semua kementerian negeri dan pemegang taruh.
Turut mendengar taklimat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi SEAC, Tan Sri David Chu; Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS Prof Datuk Dr Ramzah Dambul.
Hadir sama ialah pegawai kanan dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN). – Info X