KOTA KINABALU: Sebuah jawatankuasa sudah ditubuhkan kerajaan negeri dalam menangani isu berkaitan kekurangan bahan mentah serta tenaga kerja.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menyatakan kedua-dua isu berkenaan bukanlah masalah negara sahaja malahan ia turut dihadapi negara lain terutama apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.
“Kita baru-baru ini ada mendengar isu pengambilan buruh daripada negara luar termasuk Indonesia yang berkurangan khususnya dalam bidang perladangan.
“Bagaimanapun, kita diperingkat negeri sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk membuat pemantauan berikutan masalah buruh boleh menganggu pertumbuhan ekonomi.
“Selain itu, kerajaan negeri juga menubuhkan satu jawatankuasa lain bagi menangani kekurangan bahan mentah sehingga harga barangan melonjak naik,” katanya ketika perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke 16, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani masalah kekurangan tenaga buruh dan bahan mentah di Sabah.
Sementara itu, menerusi hujah sama, Hajiji berkata, jawatankuasa mengenai isu bahan mentah bakal diselaraskan oleh
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan beberapa agensi lain berkaitan bagi melihat bahan mentah seperti barangan pembinaan bagi menampung kos yang semakin meningkat. – Info X