Search

JANGAN HERET DUN DALAM AGENDA POLITIK, KATA SPEAKER

July 18, 2022

admin

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak mengheret DUN untuk sebarang agenda politik.

“Terdapat ADUN menggunakan laman media sosial untuk memaklumkan tentang penolakan usul atau yang dikemukakan ketika persidangan DUN Sabah.

“Saya tidak faham motif Yang Berhormat untuk menghebahkan soalan atau usul yang ditolak di media sosial.

“Mungkin pihak berkaitan mahu memaklumkan orang awam yang mereka sudah berusaha menjalankan tugas atau hendak mendapatkan pandangan untuk kepentingan politik secara peribadi.

“Bagaimanapun, alasan soalan atau usul itu ditolak tidak dinyatakan. Penolakan adalah disebabkan usul dari Yang Berhormat itu gagal memenuhi proses peraturan tetap sidang DUN.

“Namun cara hebahan itu menunjukkan seolah-olah usul atau soalan yang diutarakan tidak langsung diberikan pertimbangan oleh DUN,” katanya ketika berucap dalam persidangan DUN ke 16, di sini, hari ini.

Sementara itu, Kadzim turut menyifatkan tindakan sesetengah ADUN terbabit seperti memberi gambaran kepada awam bahawa DUN tidak memberikan sebarang pertimbangan kepada usul mereka.

“Jangan heret DUN dalam agenda politik kamu hanya kerana Pilihan Raya Umum (PRU)-15 akan menjelang.

“Isu yang perlu diutarakan dalam DUN tidak perlulah dibuat semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya. – Info X