Search

Kerajaan tubuh jawatankuasa penilai projek kerjasama awam-swasta dan konsesi negeri

January 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kabinet negeri pada Rabu meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Awam-Swasta dan Pengurusan Projek Konsesi Negeri yang akan menilai projek di bawah kerjasama itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jawatankuasa baharu itu akan menggantikan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang ditubuhkan pada 1991.

“Jawatankuasa baharu ini akan menilai tiga kategori projek berbanding jawatankuasa sebelum ini yang hanya menilai projek dari perspektif penswastaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pertama Jabatan Ketua Menteri selepas pembentukan kerajaan baharu di Menara Kinabalu, di sini.

Hajiji berkata, sebarang cadangan projek kerjasama awam-swasta kini akan dimulakan oleh kementerian berkaitan dan dirujuk kepada jawatankuasa teknikal di bawah jawatankuasa baharu itu yang dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Katanya, setelah sesuatu projek didapati berdaya maju, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk penelitian lanjut sebelum dibentangkan kepada Kabinet bagi kelulusan muktamad.

“Ini bagi memastikan, antara lain, ketepatan skop projek yang melibatkan Kerajaan Negeri dan sektor swasta seperti konsesi air dan jalan raya atau projek perumahan.

“Semua usaha sama yang melibatkan Kerajaan Negeri kini perlu melalui proses penilaian jawatankuasa ini,” katanya.

Ketua Menteri berkata Kabinet Negeri turut meluluskan kriteria tambahan dan penambahbaikan kepada inisiatif Rumah Mesra SMJ bagi tahun ini.

Beliau berkata, kos bagi satu unit Rumah SMJ bertiang dinaikkan kepada RM95,000, manakala kos Rumah SMJ tidak bertiang kini berjumlah RM85,000 seunit.

Kenaikan itu katanya bagi menampung kos tambahan seperti pengangkutan bahan binaan, penambakan tanah di tapak rumah serta pemasangan tiang elektrik dan paip air.

Hajiji turut mengumumkan pelancaran Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026-2030) pada 30 Januari ini sempena Majlis Amanat Ketua Menteri kepada pejawat awam negeri, warga syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun.

Lebih 7,000 pejawat awam dijangka menghadiri majlis berkenaan. – Info X