Search

Warga emas melecur dalam kebakaran, dua rumah dan kedai runcit musnah di Tongod

January 21, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang wanita warga emas cedera selepas dua buah rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Bolot, Tongod, di sini, awal petang tadi.

Kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 62 tahun melecur di lengan dan menerima rawatan awal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal serta dua unit enjin bot.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.12 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 156 kilometer.

Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.20 petang dan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal, selain sebuah kedai runcit, semuanya terbakar 100 peratus.

Anggota memadam kebakaran rumah di Kampung Bolot, Tongod.

“Pasukan bomba dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Kuayup menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan satu pancutan air dari pili bomba berhampiran.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 2.31 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.31 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lima anggota BBP Kinabatangan dan dua anggota PBS berada di lokasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta RELA.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X