KOTA KINABALU: Sebuah kereta jenis Toyota Vios musnah terbakar selepas terbabit kemalangan di Jalan Telipok, berhampiran CK Motor, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki dewasa cedera di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Tuaran sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Timbalan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.50 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi.

“Kebakaran melibatkan sebuah kereta yang terbakar 100 peratus dan api berjaya dikawal pada jam 6.15 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Operasi diketuai Pegawai Kanan Bomba I Mohd Hasrulnizam Mohd Zain tamat sepenuhnya jam 6.32 pagi selepas tiada lagi ancaman bahaya dikesan. – Info X