Search

Kerjasama erat SJA dan KPKT Sabah menerusi sukan futsal

December 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah (KPKT Sabah) terus mengeratkan kerjasama menerusi perlawanan futsal persahabatan yang berlangsung di Borneo Sport Arena (BSA), Kolombong, di sini, malam tadi.

Perlawanan persahabatan itu turut membabitkan penyertaan Exco Agama Sabah, sekali gus mencerminkan hubungan baik antara agensi kerajaan dan pengamal media dalam suasana santai namun kompetitif.

Aksi penuh semangat kesukanan itu berakhir dengan keputusan 5-4 memihak kepada pasukan KPKT Sabah selepas kedua-dua pasukan mempamerkan permainan bertenaga dan berdisiplin sepanjang perlawanan.

Kemenangan KPKT Sabah itu disumbangkan menerusi tiga jaringan oleh Setiausaha Akhbar (SUA) KPKT, Irwan Majid, manakala dua lagi gol dijaringkan oleh Hakim Talawi.

Menteri KPKT Sabah, merangkap Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penganjuran perlawanan futsal berkenaan menjadi platform sihat untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara kerajaan dan pengamal media.

Katanya, SJA berperanan sebagai rakan strategik penting dalam membantu menyampaikan maklumat serta dasar kerajaan kepada masyarakat secara tepat dan bertanggungjawab.

“Saya mewakili KPKT Sabah amat menghargai kerjasama erat bersama SJA selama ini.

“Hubungan baik ini wajar diteruskan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Beliau turut menyatakan kesediaan kementeriannya untuk menganjurkan lebih banyak program sukan atau aktiviti bersama SJA dari semasa ke semasa bagi memperkukuh kerjasama yang sedia terjalin.

Sementara itu, Ketua Biro Sukan dan Rekreasi SJA, Fardy Bungga, merakamkan penghargaan kepada KPKT Sabah serta Exco Agama atas penganjuran perlawanan futsal persahabatan itu.

Katanya, program seumpama berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah berfungsi sebagai jambatan merapatkan hubungan silaturahim antara pengamal media dan pihak kerajaan. – Info X