Search

Kerjasama PBS, STAR dijangka dimeterai sebelum Tahun Baru Cina

December 13, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Ke-17 (PRN17), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dijangka menandatangani memorandum kerjasama antara mereka sebelum Tahun Baru Cina, tahun depan.

Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu dan Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki dalam keyataan bersama, hari ini, berkata jalinan persefahaman antara dua parti itu perlu diperkukuh kerana terdapat tanda-tanda PRN17 diawalkan ke tahun depan.

Kenyataan itu berkata, cadangan untuk memeteraikan memorandum kerjasama antara mereka dibuat pada mesyuarat pertama kedua-dua parti itu, hari ini.

“Perbincangan tertumpu kepada merumuskan butiran kerjasama bagaimana kedua parti boleh menyumbang kepada matlamat memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghadapi PRN17.

“Selain itu, tempoh Kerajaan Negeri sekarang berakhir pada Oktober 2025, namun jalinan persefahaman antara dua parti ini perlu diperkukuh kerana terdapat tanda-tanda PRN17 diawalkan ke tahun 2024,” kata kenyataan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditanya pemberita, baru-baru ini, membayangkan kemungkinan PRN17 diadakan seawal 2024 meskipun tempoh kerajaan negeri sekarang masih berbaki kira-kira dua tahun.

Kenyataan itu berkata, nemorandum kerjasama antara PBS dan STAR akan diperhalusi pucuk kepimpinan dua parti berkenaan sebelum ditandatangani.

Katanya, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan dan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili akan menurunkan tandatangan bagi mengesahkan memorandum kerjasama itu.

Terdahulu dalam pertemuan hari ini, STAR diwakili Linggu, Datuk Flovea Ng (Wanita), Datuk Jalumin Bayogoh (Penerangan), Kong Soon Choi (Pemuda) dan Anuar Ghani.

Manakala PBS diwakili Julita, Datuk Joniston Bangkuai (Penerangan), Christopher Mandut (Pemuda), Datin Malianah Ugau (Wanita) dan Arthur Sen (Naib Presiden). – Info X