TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang berkelakuan mencurigakan ditahan ketika menunggang motosikal sehingga membawa kepada penemuan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang, semalam.
Suspek berusia 23 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas pemilik motosikal membuat laporan polis mengenai kehilangan motosikalnya di hadapan bangunan sebuah bank di daerah ini, pada 10 pagi hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan anggota dari Balai Polis Bombalai ketika menjalankan rondaan cegah jenayah (RCJ) di kawasan Jalan Merotai-Kalabakan, jam 2.40 petang.
Katanya, sepasukan anggota RCJ terlihat seorang lelaki menunggang motorsikal dalam keadaaan mencurigakan yang sama seperti hebahan motorsikal hilang yang diterima daripada Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Anggota RCJ kemudian bertindak mengekori suspek sehingga ke kawasan Felda Umas, Kalabakan dan menghubungi anggota Polis Bantuan Felda Umas Kalabakan untuk bantuan mengesan suspek di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat dari pasukan sahabat Polis Bantuan Felda Umas, pihak polis berjaya mengesan suspek di kawasan perumahan kakitangan Kilang Sawit Umas, Kalabakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan.
“Suspek ditahan serta barang kes dirampas dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata pihaknya giat aktif dalam menjalankan operasi yang berkonsepkan agresif policing dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di daerah ini. – Info X