KOTA KINABALU: Kerosakan komponen ‘float valve’ tangki simpanan sistem pencegah kebakaran (wet riser) di aras 11 Blok A, Menara Kinabalu dikenal pasti sebagai punca limpahan air hingga membanjiri ruang pejabat di bangunan itu pada Rabu.
Menerusi satu kenyataan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menjelaskan, kerosakan alat berkenaan menyebabkan 34,000 liter air yang dipam tanpa henti selama 45 minit melimpahi tangki dan mengalir ke ruang pejabat dari aras 11 hingga tujuh.
Insiden itu mengakibatkan 2,588 meter persegi (sqm) kawasan pejabat dibanjiri air, iaitu 864 sqm di aras 11, 720 sqm (aras 10), 580 sqm (aras 9), 290 sqm (aras 8) dan 145 sqm (aras 7).
Katanya, air akibat limpahan berkenaan turut mengalir di tangga kecemasan dan kawasan lif bangunan ketika kejadian pada jam 12.25 tengah hari.

“Pam air sistem bekalan air paip mengepam air masuk secara automatik dan secara berterusan ke tangki wet riser.
“Kelewatan pihak syarikat Pengurusan Fasiliti, Sinar Uni-Resources Sdn Bhd untuk menutup pam air mengakibatkan air melimpah dengan banyak hingga menyebabkan ruang pejabat ditakungi air.
“Dianggarkan lebih kurang 34,000 liter air dipam secara berterusan dalam tempoh 45 minit yang mengakibatkan limpahan air tersebut,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, katanya komponen yang rosak itu sudah digantikan serta-merta.
Ketika kejadian, katanya lapan lif dihentikan operasi serta-merta sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan, penyelenggaraan danvmengurangkan risiko kerosakan pada sistem lif.
“Operasi satu lif kakitangan telah disahkan selamat pada jam 6 petang, manakala satu lif kargo tidak terkesan daripada insiden dan masih berfungsi seperti biasa.
“Bagi kerja-kerja pembersihan, semua selesai dilakukan pada jam 11.30 malam, 30 April 2025,” katanya.
Kata kenyataan itu, secara keseluruhan, perkhidmatan beberapa jabatan kerajaan yang terkesan di Blok A, Menara Kinabalu masih beroperasi seperti biasa.
“JKR akan menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden ini untuk mengesahkan tiada unsur kecuaian dan untuk mengelakkan perkara yang sama daripada berulang pada masa akan datang,” katanya.
Kejadian pada Rabu itu tular di media sosial, antaranya memaparkan situasi pejabat dan kawasan lif yang digenangi air. – Info X