Search

PRN17: Dari mana dapat 40 kerusi, soal PKR kepada BN

May 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah hairan bagaimana Barisan Nasional (BN) boleh mengumumkan agihan 40 kerusi untuknya dan 33 kerusi untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, berkata walaupun ada pertemuan tidak rasmi di antara kedua-dua gabungan itu, namun tiada perbincangan mengenai agihan kerusi setakat ini.

“Di peringkat Keadilan Sabah, pertemuan tidak rasmi (BN-PH) telah dibuat namun tidak ada sebarang perbincangan dibuat setakat ini di antara PH dan BN mengenai bilangan agihan kerusi.

“PH belum bertemu secara rasmi sama ada dengan BN mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membincangkan isu kerjasama pilihan raya apatah lagi agihan kerusi.

“Kami tidak tahu dari mana Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mendapat angka 40 kerusi untuk BN itu dan kita tidak tahu dengan siapa beliau berbincang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas laporan mengenai agihan 40 kerusi untuk BN dan baki 33 kerusi untuk PH pada PRN17 nanti seperti disahkan Suhaimi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur berdasarkan laporan akhbar nasional, pada Khamis.

Berikutan itu Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat meminta UMNO untuk menasihati pimpinan mereka di Sabah agar tidak mengeluarkan kenyataan unilateral terutama berkaitan kerjasama mendepani PRN17 dan agihan kerusi.

“Sebaiknya perundingan dibuat dahulu sebelum sebarang kenyataan dibuat.

“PKR dan PH Sabah terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai aspirasi sama untuk negeri Sabah, namun biarlah perkara ini dibincangkan dalam pertemuan rasmi,” katanya.

Sementara itu, Razeef berkata, beliau juga mendapat pengesahan dari semua pimpinan PH Sabah bahawa belum ada sebarang perbincangan dibuat dengan BN Sabah mengenai kerjasama politik atau agihan kerusi.

“Pemimpin BN Sabah sudah berkali-kali mengeluarkan kenyataan seperti ini walaupun mereka tidak pernah bertemu PH apatah lagi membincangkan perkara ini,” katanya. – Info X