TAWAU: Tujuh suspek disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga tempatan di sebuah ladang sawit bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau petang ini.
Semua suspek berkenaan terdiri daripada enam pegawai serta anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selain satu orang awam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihak polis sudah melengkapkan siasatan berkaitan kes pembunuhan yang melibatkan seorang pemandu e-hailing pada 13 Januari lalu.
“Kertas siasatan telah lengkap dan dimajukan kepada Pejabat Peguam Negara semalam.
“Oleh itu, semua tangkapan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini.
“Selain itu, pihak polis juga pada 30 Januari lalu telah menuduh seorang wanita yang juga isteri kepada mangsa di atas kesalahan sama.
“Semua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.
“Kesalahan ini memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Tawau sebelum ini mendakwa seorang penganggur, Nurima Juli, 33, atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, Tawau antara 7.30 hingga 9 malam pada 13 Januari.
Dalam pada itu, tempoh reman lapan anggota polis termasuk empat pegawai kanan bagi membantu siasatan kes bunuh pemandu e-hailing di sebuah ladang sawit dilanjutkan tujuh hari bermula 1 Februari.
Idris sebelum ini turut menyatakan laporan kes bunuh terbabit bermotifkan cemburu dan lebih bersifat peribadi serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah. – Info X