KOTA KINABALU: Pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Luyang, di sini, hari ini, membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari oleh bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang didera pengasuh terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya setakat ini, menerima tiga laporan polis mengenai kejadian itu.
Katanya, laporan polis itu daripada ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh (suspek) Taska yang mendakwa dikasari oleh bapa kanak-kanak terbabit.

“Mangsa kanak-kanak dan suspek telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2) untuk pemeriksaan doktor.
“Setakat ini, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
“Kedua iaitu Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda tidak melebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, terdahulu pihaknya mengesan satu rakaman video yang tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikasari oleh seorang penjaga di taska.
Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati insiden itu berlaku di sebuah taska di Luyang, di sini.
“Ibu bapa kepada kanak-kanak (mangsa) itu dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia telah dikasari oleh pengasuh taska sehingga mendapati kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.
“Ibu bapa kanak-kanak itu pergi ke taska berkenaan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati anaknya (mangsa) dikasari oleh seorang pengasuh di taska berkenaan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Penampang,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang sejak petang tadi.
Lebih memilukan, mangsa ditampar dan dipukul menggunakan pembaris di bahagian muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.
Insiden itu kemudian tular di media sosial hingga menerima kecaman daripada netizen akibat perlakuan pengasuh taska berkenaan dan turut bersimpati dengan nasib mangsa. – Info X