Search

Lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika rai gol Sabah FC

August 10, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang pengsan ketika menyaksikan perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, di sini, malam tadi, dilaporkan meninggal dunia.

Lelaki berusia 39 tahun terbabit dikatakan jatuh pengsan kira-kira jam 8.27 malam, sejurus selepas pasukan Sabah FC menjaringkan gol pertama pada perlawanan itu.

Sumber berkata, lelaki terbabit secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri ketika para penyokong meraikan jaringan Sabah FC.

“Kebetulan saya bersama isteri duduk di kawasan sama (dengan lelaki terbabit) dan tiba-tiba ada seorang lelaki tidak sedarkan diri.

“Saya kemudian segera ke tempat lelaki itu untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sambil cuba mengubungi doktor yang bertugas,” katanya yang juga seorang petugas kesihatan.

Menurutnya, pasukan perubatan kemudian datang ke tempat lelaki terbabit untuk mengusungnya, seterusnya menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun menurut doktor yang merawatnya, lelaki itu disahkan meninggal ketika menerima rawatan di hospital malam tadi.

“Saya sudah buat yang termampu untuk membantunya termasuk memberi bantuan pernafasan selepas dia rebah di stadium (Likas), saya ucapkan salam takziah kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Aksi Sabah FC dan JDT semalam menyaksikan seramai kira-kira 15,000 penyokong hadir ke Stadium Likas. – Info X