Search

Kes orang hilang: Pelajar ditemui selamat, akui ikut rakan

July 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui dalam keadaan selamat di hadapan rumah rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam, di sini, petang tadi.

Pelajar berkenaan, Gwynne Mia Erbin, ditemui kira-kira jam 3 petang dalam keadaan bersendirian, sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil keterangan awal mendapati pelajar terbabit memaklumkan bahawa dia mengikut seorang rakannya sejak hari sebelumnya.

“Pelajar itu kemudian dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membuat laporan susulan dan tindakan lanjut.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan orang hilang ini.

Terdahulu, pelajar terbabit sebelum ini dilaporkan hilang sebelum polis melancarkan usaha mengesan keberadaannya.

Petang tadi, ahli keluarga mengesahkan pelajar itu ditemui dalam keadaan selamat.

Mereka turut menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis serta pengguna media sosial yang bersama-sama membantu menyalurkan maklumat dan menyebarkan hebahan sehingga pelajar terbabit berjaya ditemui dengan selamat. – Info X