KOTA KINABALU: Seorang lagi pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengambil keputusan meletak jawatan dan meninggalkan parti itu berkuatkuasa serta merta.
Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR yang juga Setiausaha STAR Bahagian Sri Tanjong, Muhammad Raiyan Fung Abdullah membuat keputusan itu pada 26 Julai lalu selepas membuat pertimbangan sewajarnya.
Beliau mengumumkan peletakan jawatan yang dipegangnya dalam parti dan mengisytiharkan tidak lagi menjadi ahli parti itu.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapannya.
“Saya membuat keputusan ini setelah melalui pertimbangan yang sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapan saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sepanjang penglibatannya bersama STAR, beliau amat menghargai segala peluang, kepercayaan dan pengalaman yang diberikan oleh parti.
Raiyan turut merakamkan penghargaan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang beliau memegang kedua-dua jawatan tersebut.
“Saya amat menghargai segala peluang, kepercayaan serta pengalaman yang telah diberikan sepanjang penglibatan saya bersama parti.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selaku presiden parti, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang saya memegang amanah dalam kedua-dua jawatan tersebut,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar STAR terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai segala matlamat yang telah ditetapkan.
Sebelum ini, beberapa pemimpin STAR Bahagian Bingkor dan bahagian lain turut meninggalkan parti itu. – Info X