Search

Kes Zara: Buat siasatan penuh dan profesional – Dr Yusof

August 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob meminta pihak berwajib, khususnya polis membuat siasatan penuh dan profesional terhadap kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Katanya, siasatan perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan sama ada kes itu mempunyai unsur jenayah atau tidak.

Beliau juga meminta pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan menyiasat serta membuat laporan pematuhan SOP kerja, disiplin dan keselamatan sekolah serta asrama.

“⁠Saya tidak langsung membuat apa-apa andaian atau spekulasi atau menuduh mana-mana individu atau kumpulan terlibat.

“Namun, setelah dua minggu tiada berita atau keputusan siasatan, maka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warganet (netizen) bangkit seperti yang viral ketika ini,” katanya dalam saty kenyataan, pada Selasa.

Katanya, ketika ini NGO dan pelbagai kumpulan akan terus melaungkan ‘Justice for Zara’ sehingga ada jawapan dari pihak berwajib.

“Itu pun tidak berhenti sehingga yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sebelum ini, Dr Yusof ada melawat ketika arwah Zara masih di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan menyatakan beliau memandang serius perkara itu kerana melibatkan kematian pelajar di sekolah.

Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 3 bangunan asrama sekolahnya, sehari sebelum itu. – Info X