Search

Kes Zara adalah isu rakyat Sabah – Aliakbar Gulasan

August 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kes kematian Zara Qairina Mahathir yang masih dalam siasatan polis dianggap sebagai isu rakyat Sabah berikutan kebangkitan luar biasa masyarakat sejak kebelakangan ini.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, menyifatkannya satu sejarah kerana pertama kali berlaku kebangkitan rakyat yang luar biasa disebabkan kes kematian arwah.

“Walaupun kes itu bersifat kemanusiaan, ia turut menjadi isu rakyat Sabah berikutan kebangkitan luar biasa yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Kebangkitan rakyat Sabah ini satu sejarah kerana sebelum ini tidak ada kebangkitan yang luar biasa. Saya jangkakan kebangkitan ini akan berterusan kalau kerajaan tidak cepat menangani persoalan-persoalan yang berlaku dan menyelesaikan beberapa isu dengan segera.

“Sekarang semakin banyak isu di media sosial dan ia bergerak semakin laju, jadi kita kena berhati-hati,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu hadir menyatakan solidariti dan sokongan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang membawa isu kematian arwah Zara Qairina di Parlimen.

Beliau berkata, suasana di Sabah kini tidak begitu tenang, lebih-lebih lagi apabila kubur arwah Zara terpaksa digali semula yang disifatkan sebagai satu kejadian yang jarang berlaku.

Katanya, pihak berkuasa, kerajaan dan agensi penyiasatan perlu memberi kenyataan yang benar-benar meyakinkan rakyat.

Beliau turut menegaskan keperluan ketelusan sepenuhnya dalam siasatan, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyembunyikan maklumat, sama ada pentadbir sekolah, pihak keselamatan atau kementerian.

“Kalau memang pentadbir sekolah menyembunyikan sesuatu, ambil tindakan terhadap pentadbir sekolah. Kalau pihak keselamatan yang menyembunyikan sesuatu, kerajaan kena tegas untuk ambil tindakan.

“Hatta kalau misalnya kementerian atau menteri-menteri yang menyembunyikan sesuatu,” katanya.

Aliakbar menegaskan, rakyat Sabah mengharapkan isu itu diselesaikan segera kerana dibimbangi akan mencetuskan kebangkitan rakyat yang luar biasa jika tidak ditangani.

Beliau berkata, kebangkitan rakyat dalam isu itu juga mencerminkan imej perpaduan di Sabah, apabila pelbagai pihak bangkit bersama tanpa mengira latar belakang agama atau politik.

“Walaupun Zara beragama Islam, yang bangun ini semua komuniti, politik, NGO dan sebagainya. Ini simbol kesatuan dan saya yakin bila rakyat bangkit, itu tandanya mereka mahukan jawapan yang besar,” katanya. – Info X