Search

Kes Zara: Tiada kenyataan laporan lisan bedah siasat – Peguam

August 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan bedah siasat jenazah arwah yang dibuat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pada Ahad.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, berkata langkah itu bagi mengelakkan sebarang percanggahan di antara laporan lisan bedah siasat dengan laporan rasmi yang akan dikeluarkan hospital nanti.

Semalam, Shahlan memaklumkan bahawa terdapat kecederaan yang ditemui pada tubuh Zara ketika bedah siasat dijalankan ke atas jenazah arwah.

“Demi mengelakkan berlaku percanggahan di antara laporan lisan bedah siasat yang dimaklumkan kepada kami dan ibu Zara selepas tamatnya bedah siasat semalam, dengan laporan rasmi bedah siasat yang akan dikeluarkan oleh pihak hospital, kami menahan diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan bedah siasat itu,” katanya.

Sementara itu, mereka mengucapkan terina kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengarahkan polis untuk membuat permohonan menggali semula kubur Zara dan seterusnya membuat bedah siasat terhadap jenazahnya pada 10 Ogos 2025.

“Kami juga berterima kasih kepada polis yang telah mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat tersebut,” katanya.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada semua individu termasuk wartawan dan media yang berada di tanah perkuburan serta persekitaran HQE hospital dari pagi hingga ke malam bagi menyaksikan proses penggalian kubur, pengkebumian jenazah dan bedah siasat.

“Sokongan anda semua amat kami hargai,” katanya. – Info X