KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC), esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan itu dibuat selepas siasatan lanjut dijalankan oleh pasukan khas (Task Force) yang ditubuhkan khusus bagi menyiasat kes berkenaan.
“Setakat ini, seramai 195 saksi sudah dipanggil untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Ia meliputi pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan lain-lain saksi yang material kepada siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan polis memberi fokus kepada dua elemen penting iaitu siasatan dari aspek inkues dan aspek perlakuan jenayah lain sepertu buli serta penularan berita palsu.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan sentimen yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.
“PDRM juga memberi jaminan bahawa proses siasatan yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu.
Mayat Zara Qairina dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang Isnin lalu. – Info X