PUTATAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menjawab persoalan mengenai kedudukan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat yang digantung keahlian dalam UMNO Sabah selama enam tahun sejak 2023 itu akan menyertai pasukannya.
“Dia akan ikut ‘siurang’,” katanya ketika ditanya kedudukan Shahelmey.
Hajiji ditemui selepas menghadiri Program Anak Muda Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat, di Dewan Sri Putatan, pada Ahad.
Walaupun digantung keahlian, Shahelmey dianggap masih bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).
‘Siurang’ yang disebut Hajiji dipercayai merujuk kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini menyatakan enggan mencalonkan semula Shahelmey.
Ia berikutan tindakan Ahli Parlimen Putatan itu menyokong Hajiji ketika UMNO Sabah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri itu dan menarik diri dari kerjasama dengan GRS pada Januari 2023.
Sementara itu, Hajiji yakin GRS dapat menawan semua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Putatan pada PRN17.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan Shahelmey kembali menawan kerusi Tanjung Keramat yang dimenanginya atas tiket BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.
“Apa sukar..’tatap manang’ punya, dia lagi ADUN, dia lagi Ahli Parlimen,” katanya.
Bagaimanapun, Shahelmey dalam dilema kerana bakal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Putatan jika bertanding atas tiket GRS pada PRN17 nanti.
Ia berikutan tindakan itu melanggar undang-undang anti lompat parti memandangkan kerusi Parlimen itu dimenanginya atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada November 2022.
Terdahulu, dalam ucapannya, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata tiga kerusi DUN di Putatan dapat dimenangi GRS jika rakyat di kawasan ini bersatu hati mengekalkan kerajaan sedia ada pada PRN17.
“Beruntung di Putatan ini ada Timbalan Ketua Menteri dan ada wakil rakyat yang aktif membantu rakyat. InsyaAllah pada pilihan raya ini GRS akan ambil alih ketiga-tiga DUN ini.
“Orang Putatan mesti bersatu hati pastikan kerajaan yang baik untuk rakyat ini kita menangkan pada pilihan raya nanti,” katanya. – Info X