KOTA KINABALU: Semua pihak yang bertanggungjawab diminta menyiasat kes kematian Zara Qairina Mahathir dengan adil dan telus seperti disuarakan orang ramai yang bersimpati terhadap nasib pelajar itu.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Fairuz Renddan, berkata sebagai seorang ayah, beliau boleh membayangkan dan merasak apa yang sedang dialami ibu arwah Zara dan semua suara orang ramai yang mahukan siasatan kes itu terus dijalankan dengan telus.
“Kita akan terus berusaha untuk meminta agar keadilan dalam proses siasatan hingga kes ini selesai dan kita berharap agar semua pihak terus kuat dalam menyatakan solidariti secara berhemah untuk arwah Zara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan menemui Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun bagi menyatakan solidariti dan sokongan terhadap siasatan kes kematian Zara.
Fairuz berkata, kejadian malang itu adalah sesuatu yang tidak wajar didiamkan, sebaliknya semua usaha menegakkan keadilan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
“Kita faham ada proses dan prosedur yang pihak berkuasa terutama polis laksanakan dan kita hormati semua itu.
“Saya ingin meminta agar semua perhatian diberikan dengan teliti untuk siasatan kes arwah adik Zara dan semoga yang bersalah dapat dibawa ke muka pengadilan dengan hukuman setimpal,” katanya.
Jelasnya, usaha mendidik dan menyemai disiplin diri dalam kalangan anak-anak perlu dimulakan lebih awal dari rumah dan dilakukan secara serius bagi membentuk sahsiah diri.
“Kita dengar pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ dan sebagai ibu bapa, wajar untuk kita corakkan anak-anak kita dengan sahsiah dan perilaku sopan agar mereka membesar menjadi seorang manusia yang mempunyai rasa empati.
“Sahsiah dan perilaku anak sememangnya mampu dicorakkan oleh kita dari rumah dan inilah asas kepada didikan yang perlu kita pupuk dan ambil perhatian serius, kerana kita mahu budaya negatif, samseng dan segala aktiviti tidak bermoral anak remaja kita dapat dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Fairuz meminta semua pihak, khususnya pengguna media sosial diminta menghormati keluarga Allahyarham Zara dan tidak mencari publisiti murahan dengan membuat spekulasi sendiri di media sosial berkaitan kes kematian pelajar itu.
Beliau berkata, tindakan yang bertujuan untuk menjadikan perkongsian mereka viral di media sosial itu adalah tidak wajar.
“Kita kena bayangkan jika kita berada di posisi keluarga arwah adik Zara, kita kena letakkan rasa kasih dan prihatin untuk ibu arwah adik Zara yang sekarang sudah amat tertekan dengan kehilangan anak tunggalnya.
“Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan jangan jadi ‘penunggang isu’ dengan menyebarkan maklumat tidak sahih, kerana kelak, kecuaian kita boleh membawa padah andai ada tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut prihatin dan menyokong penuh usaha siasatan kes arwah Zara agar pesalah dapat diberi hukuman setimpal.
“Ini adalah keprihatinan Kerajaan Negeri dan kita sokong usaha semua pihak yang menuntut agar kes ini disiasat dengan telus,” katanya. – Info X