TAWAU: Aksi dramatik lima kenderaan Unit Peronda Polis (MPV), termasuk dua pacuan empat roda, mengejar sebuah van putih yang sarat muatan rokok seludup, berakhir dengan penahanan kenderaan itu di Kampung Titingan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.20 pagi itu, sepasukan Unit Gempur Marin (UNGGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah mengesan pergerakan mencurigakan van berkenaan yang dipercayai membawa muatan rokok dari negara jiran.
Cubaan pemandunya untuk meloloskan diri gagal apabila pasukan khas dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, Tawau dan Unit Risikan PPM berjaya mengepung dan memintas van berkenaan selepas lebih sejam dikejar.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan ke atas van itu, dapati terdapat longgokan plastik hitam yang disyaki di dalamnya mengandungi rokok seludup.
“Sebanyak 678,400 batang rokok pelbagai jenama telah dirampas. Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun bagi membantu siasatan.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM1,011,630. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata PPM akan terus komited menjalankan operasi secara agresif bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi turut mengancam keselamatan.
“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram supaya tindakan segera dapat diambil pihak berkuasa,” katanya. – Info X