SANDAKAN: Cubaan memindahkan minyak petrol secara haram di tengah laut membabitkan dua kapal digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di perairan Langkayan, di sini, Rabu lalu.
Dalam operasi jam 11 malam itu, pasukan PPM Sandakan mengesan sebuah kapal besi dan sebuah kapal kumpit yang sedang berlabuh mencurigakan di lokasi berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati kapal besi terbabit baru selesai memindahkan sebanyak 100,000 liter minyak petrol ke kapal kumpit.
“Pemeriksaan lanjut di ruangan kapal besi itu masih terdapat kira-kira 900,000 liter minyak petrol.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM84,070,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, empat lelaki warga asing berusia antara 43 hingga 65 tahun yang berada di atas kapal turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Juragan dan kru kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bunkering daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Laut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya komited memerangi aktiviti penyeludupan serta pemindahan bahan api secara haram yang mengancam keselamatan dan ekonomi negara.
“Orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara,” katanya. – Info X