Search
Search
Close this search box.

Kilang simen RM1.2 bilion bakal tingkatkan sosio ekonomi penduduk Tongod

April 27, 2024

Info X Reporters

TONGOD: Tahap sosio ekonomi penduduk daerah ini dijangka meningkat menerusi pembinaan kilang simen dan klinker terbesar di Sabah di Kampung Kawayoi, Penangah, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek bernilai RM1.2 bilion itu bakal disusuli penyediaan kemudahan lain seperi jalan raya, loji rawatan air, telekomunikasi dan elektrik.

Katanya, kemudahan infrastruktur itu penting sebagai pelengkap untuk membolehkan kilang berkenaan beroperasi, sekali gus turut memberi manfaat kepada penduduk luar bandar, khususnya di Tongod.

“Projek ini juga menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Ia menjadi katalis pertumbuhan ekonomi daerah ini dan Sabah.

“Ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini,” katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan di Kampung Penangah, di sini, hari ini.

Hajiji menyempurnakan simbolik penanaman pokok yang akan ditanam di kawasan kilang simen di Tongod.

Hajiji berkata kilang baharu itu melengkapkan kilang sedia ada milik Cement Industries Sabah (CIS) Sdn Bhd.

Katanya, beliau percaya kilang berkenaan bukan saja meningkatkan pengeluaran simen, malah Sabah juga boleh menjadi pengeksport bahan binaan itu.

“Ia satu lagi inisiatif kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Jelasnya, pembukaan kilang berkenaan di Pinangah mengambil kira kesediaan sumber yang diperlukan untuk mengeluarkan simen.

Hajiji (dua kiri) melihat bahan yang digunakan untuk membuat simen.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Hajiji menyerahkan sebanyak 83 geran tanah dengan keluasan keseluruhan 186.06 hektar kepada penerima dari Kampung Kuamut (27), Penangah (21), Entilibon (25) dan Kampung Mananam (10). – Info X