Search
Search
Close this search box.

Lelaki melecur, 3 rumah musnah terbakar

April 27, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki dewasa cedera ringan dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Tamoi Baru, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, dua rumah separuh kekal dan sebuah rumah jenis tidak kekal musnah 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.04 petang.

Katanya, sepasukan 12 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan bomba menggunakan dua aliran, empat pancutan dari sumber air terbuka iaitu parit.

“Terdapat seorang mangsa lelaki dewasa cedera ringan (melecur) dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Tamoi Baru, Lahad Datu. – Foto/Bomba

Katanya, operasi terkawal pada 4.19 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 7.47 malam.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X