KOTA KINABALU: Datuk Ong Kim Swee belum berpuas hati terhadap aspek penyudah serangan Sabah FC selepas hanya seri 1-1 berdepan Terengganu FC, di Stadium Likas, malam tadi.
Pengendali skuad Sang Badak itu berkata, aspek itu perlu diperbaiki bagi memanfaatkan dengan sebaik mungkin peluang untuk menjaringkan gol pada setiap perlawanan.
Jelasnya, walaupun penyerang baharu pasukan, Joao Pedro Boeura Duarte berjaya menjaringkan gol, namun aspek penyudah masih menjadi masalah kepada skuad Sang Badak.
“Beliau (Duarte) mampu menjaringkan gol hari ini dan ini pasti akan memberi keyakinan tetapi saya masih lagi belum berpuas hati secara keseluruhan dari segi penyudah.
“Ini harus diperbaiki lagi di mana kita ingin pastikan yang kita tidak mensia-siakan peluang yang begitu banyak,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Likas malam tadi.
Dalam aksi itu, Sabah dan Terengganu berkongsi satu mata selepas seri 1-1 hasil jaringan Duarte pada minit kesembilan dan Ismaheel Akinade pada masa tambahan babak pertama.
Mengulas perlawanan itu, Kim Swee berkata walaupun pasukannya gagal mendapat mata penuh, satu mata yang dikongsi bersama pasukan pelawat juga cukup penting.
“Kita tahu pasukan Terengganu adalah satu pasukan yang cukup baik dan kita mendapat satu mata yang amat penting bagi saya walaupun kita tidak dapat tiga mata seperti yang kita inginkan.
“Saya percaya pemain telah memberikan segala usaha yang mereka lakukan terutama selepas lima minggu tanpa perlawanan persahabatan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa pemain yang sebelum ini direhatkan kerana mengalami kecederaan juga mula kembali bermain bagi mendapatkan minit permainan untuk dibawa ke perlawanan seterusnya.
“Pemain yang kembali daripada kecederaan terutamanya Gabriel Peres, Saddil Ramdani dan Stuart John Wilkin di mana mereka mendapatkan minit permainan yang amat penting.
“Ini harus kita bawa pada perlawanan yang akan datang di mana kita akan bermain dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – Info X