Search

Umat Islam diingatkan tidak terperangkap dalam zon selesa

September 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum Bumiputera tetap terjamin dan terbela.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu serta berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa dan negara.

Jelasnya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata, sebaliknya satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa terutama anak muda dan belia Muslim.

Katanya, selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.

“Budi pekerti Rasulullah SAW ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada, sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024H di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin.

Tun Juhar bersama Hajiji dan kenamaan lain menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Hajiji berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti industri digital, Internet of Things, kecerdasan buatan (AI), penggunaan robotik dan sebagainya meletakkan masyarakat ummah setaraf dengan bangsa lain yang lebih maju di dunia.

Katanya, pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.

Hajiji berkata, modal insan yang berkualiti adalah prasyarat terpenting dalam mencapai wawasan negeri dan negara, kerana tanpa nilai atau kualiti yang tinggi, negara akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk bersiang dalam apa jua bidang dan arena di peringkat antarabangsa.

“Justeru, hasrat murni kerajaan ini bukan saja harus disambut baik oleh seluruh rakyat, bahkan harus disokong dan didukung oleh masyarakat ummah, demi kemajuan yang berterusan dan kesejahteraan yang berkekalan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan menyediakan pelbagai insentif berupa bantuan pendidikan kepada pelajar cemerlang di negeri ini, termasuk golongan yang kurang berkemampuan, bagi membantu meringankan beban mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, kerajaan juga memperkenalkan beberapa anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul sebagai imbuhan dan pengiktirafan sumbangan dan peranan mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah bagi membantu mempermudah urusan maslahah rakyat dan sebagainya.

“Insentif ini sebagai motivasi kepada masyarakat Islam untuk terus mencontohi dan meneladani Rasululllah SAW dalam urusan beramal kebajikan yang secara tidak langsung mengagungkan kerasulan baginda serta membela agama Allah SWT dengan penuh istiqamah dan keikhlasan,” katanya.

Pada majlis itu dua Tokoh Maulidur Rasul bagi negeri Sabah menerima anugerah masing-masing, iaitu bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dan bekas Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.

Terdahulu, Hajiji dan isteri, Datin Seri Juliah Salag bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah RM Jasni diiringi dif-dif kenamaan serta lebih 7,000 umat Islam berarak ke SICC sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini. – Info X