KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan anak didiknya sehingga berjaya mencapai kemenangan pada aksi Liga Super menentang KL City FC, di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, perlawanan yang berkesudahan memihak 3-2 kepada Sabah FC itu dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan masing-masing mencipta peluang untuk menghasilkan gol.
Bagaimanapun, katanya, semangat juang tinggi dan tidak mudah putus asa yang ditunjukkan para pemain Sabah FC berjaya memastikan tiga mata menjadi milik mereka walaupun mendapat tentangan sengit dari pasukan pelawat.
“Kemenangan ini juga penting di mana kita tidak boleh kehilangan mata di sini kerana kita tahu liga hampir ke penghujung dan apa yang ditunjukkan oleh semua pemain adalah satu sikap yang cukup positif,” katanya pada sidang media selepas aksi berkenaan, semalam.
Kim Swee berkata, walaupun KL City FC menunjukkan permainan yang berkesan pada babak pertama, namun Sabah berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi menyebabkan permainan terikat seri tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama perlawanan.
“Kita tahu KL City bukan satu pasukan mudah di mana mereka bermain mengikut corak permainan yang begitu efektif dan kita gagal mendapatkan peluang.
“Walaupun tidak mendapat peluang tetapi kita tidak dibolosi pada separuh masa pertama, jadi ini memberi ruang kepada kedua-dua pasukan untuk mendapatkan jaringan dan itu berlaku pada separuh masa kedua.
“Pada mulanya kita mendahului dan selepas itu kita ketinggalan, jadi kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang, tetapi kita menunjukkan sikap positif hingga minit terakhir,” katanya.
Dalam aksi malam tadi, skuad Sang Badak berjaya mengutip tiga mata penuh apabila pemain importnya, Gabriel Peres berjaya mencipta gol ketiga untuk Sabah pada minit ke-89 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 bermula pada minit ke-78.
Sabah memulakan jaringan melalui Stuart John Wilkin sekali gus mendahului permainan dengan 1-0 pada minit ke-50, sebelum disamakan 1-1 oleh pasukan lawan melalui Romel Morales sembilan minit kemudian.
Pemain KL City kemudian berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-70 melalui Muhammad Haqimi Azim Rosli, menjadikan pasukan pelawat di hadapan dengan kedudukan 2-1, namun Kapten Sabah FC, Park Taesu berjaya menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-78 sebelum Gabriel memberi gol kemenangan pada minit ke-89. – Info X