Search

Juragan gagal seludup petrol, diesel, minyak masak subsidi

August 13, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Taktik seorang juragan menyeludup barang kawalan ke Filipina menggunakan bot nelayan bagi mengelak dikesan gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ditahan anggota PPM Sandakan menerusi Op Taring Gelora di perairan Berhala, di sini, 12.30 tengah malam.

Anggota PPM Sandakan memeriksa bot nelayan yang cuba menyeludup barang kawalan ke Filipina. – Foto/PPM

Menerusi operasi itu, suspek ditahan bersama bot nelayan dengan muatan 600 liter petrol, 6,000 liter diesel dan 2,006 peket minyak masak bersubsidi.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM189,145.

Juragan warga tempatan yang ditahan kerana cuba menyeludup keluar petrol, diesel dan minyak masak bersubsidi ke Filipina. – Foto/PPM

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X