KOTA KINABALU: Sabah FC kembali ke landasan sebenar dalam saingan Liga Super apabila menewaskan KL City FC 3-2 dalam satu aksi dramatik, di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Beraksi di hadapan lebih 6,000 penyokong, kedua-dua pasukan gagal mencipta jaringan pada babak pertama permainan walaupun ada beberapa gerakan bahaya dicetuskan kedua-dua pasukan.
Sabah FC lebih dulu membuka tirai jaringan menerusi cubaan Stuart Wilkin pada minit ke-51 bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, KL City FC mengejutkan tuan rumah apabila meledak dua gol untuk mendahului menerusi Romel Morales dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.
Morales berjaya ‘membuka akaun’ jaringan buat pasukannya hasil tandukan pada minit ke-60 manakala Haqimi meletakkan KL City FC di hadapan menerusi rembatan pada minit ke-71.
Tersentak dengan dua jaringan itu, Sabah FC kemudian menggandakan serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 menerusi cubaan Park Taesu yang terbias ke kaki lawan sebelum bola masuk menerjah jaring.
Jaringan itu kemudian menjadi tonik buat Sabah FC untuk menamatkan aksi dengan kemenangan dan akhirnya pemain gantian, Gabriel Peres berjaya melengkapkan misi itu.
Jaringan pada minit ke-89 itu hasil kuisan Peres selepas menerima hantaran dari luar kotak penalti yang berjaya memperdayakan penjaga gol lawan.
Kedudukan 3-2 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri meniupkan wisel penamat. – Info X
Kredit foto – MAHA