Search

11 PATI, 2 penagih ditahan dalam Operasi Bersepadu

August 13, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas didapati masuk ke negara ini tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah di sekitar kawasan perairan Pulau Sebatik dan Jeti Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Lama, baru-baru ini.

Tangkapan menerusi Operasi Bersepadu (OB) selama dua hari bermula Khamis lalu dijalankan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 68 pengangkutan laut atau bot telah diperiksa dan seramai 1,887 individu diperiksa.

Katanya, hasil operasi berkenaan, seramai 11 PATI) ditahan dan dua individu didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Pasukan operasi menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan Terminal Feri Tawau. – Foto/ESSCOM

“Semua PATI terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

“Bagi suspek kes dadah pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, operasi itu dijalankan bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan PATI di daerah ini.

“Selain itu, ia juga bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan lain khususnya di pintu keluar masuk utama terutamanya penduduk di Pulau Sebatik sempadan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Victor berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada seramai 66 orang pegawai dan anggota pelbagai agensi yang terlibat menjayakan operasi kali ini.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Ia juga selaras dengan hasrat ESSCOM ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta pemeliharaan keselamatan awam di ESSZONE,” katanya.

Katanya, ESSCOM terus mempergiat operasi bersepadu ke daerah ESSZONE lain bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan di pantai Timur Sabah.

“Justeru, masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089- 863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp 011-63311072,” katanya. – Info X